Tuesday 1 March 2016

Penjamin dan Hak Mereka

As'mualaikum w.b.t

Jangan tempah bahaya jadi penjamin

Oleh: SALLEH BUANG
PADA teorinya, kalau kita menjadi penggerenti (penjamin) bagi orang lain, tindakan kita itu tidak begitu berbahaya. Malangnya, berdasarkan amalan bank masa kini, yang terus direstui oleh mahkamah tempatan, ia merupakan satu tindakan yang amat tidak wajar sekali dan kurang bijaksana, kecuali kita memang orang yang punyai banyak wang dan mampu membayar hutang peminjam, walau sebanyak mana sekalipun.
Di bawah Seksyen 79 Akta Kontrak 1950), kedudukan seorang penggerenti itu berbeza dengan kedudukan seorang penghutang utama (principal debtor). Seorang penggerenti hanya memikul beban hutang yang bertaraf sekunder (secondary liability). Beban hutang bertaraf pertama (primary liability) ditanggung oleh peminjam, yang disifatkan oleh undang-undang sebagai penghutang utama.
Pada prinsipnya, mengikut Akta Kontrak, hanyalah setelah penghutang utama gagal membayar hutangnya kepada pihak bank (iaitu selepas bank menjalankan semua tindakan yang sah di bawah undang-undang), barulah penggerenti boleh dibebankan dengan kewajipan membayar balik hutang itu kepada bank.
Mengikut prinsip asasi ini, pemiutang (creditor) hendaklah terlebih dahulu menjalankan segala tindakan yang perlu untuk menuntut bayaran balik daripada penghutang utama.
Sekiranya penghutang utama ada menyerahkan apa-apa sekuriti bagi pinjamannya itu (misalnya gadaian tanah atau debentur) kepada pihak bank yang memberi pinjaman, bank berkenaan hendaklah terlebih dahulu mengambil tindakan undang-undang di bawah gadaian tanah atau debentur itu.
REALITI YANG MENCEMASKAN
Yang menyedihkan kita ialah perlindungan penggerenti seperti yang digubal oleh Parlimen dalam Akta Kontrak itu tinggal sebagai satu teori kosong sahaja. Amalan bank tempatan masa kini menunjukkan realiti adalah sebaliknya.
Disebabkan penggerenti telah menyatakan persetujuannya sebagai penghutang utama (entah secara sedar ataupun tidak) apabila dia menandatangani perjanjian gerenti dalam bentuk standard yang disediakan oleh pihak bank, segala perlindungan yang diberi oleh Akta Kontrak itu menjadi sia-sia dan tidak terpakai lagi.
Persoalannya ialah jika Akta Kontrak sudahpun menyediakan perlindungan bagi penggerenti, mengapakah pihak bank masih terus bebas menyediakan bentuk perjanjian bertulis standard yang mengetepikan perlindungan statutori itu? Sebabnya mahkamah tempatan masih terus terpesona dengan doktrin 'kebebasan berkontrak' yang berakar umbi di Common Law Inggeris.
Yang menghairankan kita ialah dalam masa yang sama, mahkamah tempatan telah pun menolak doktrin ini bila mentafsirkan satu dua statut lain, misalnya Akta Sewa Beli dan Akta Pemaju Perumahan.
BANK ADA BANYAK PILIHAN
Kekuatan perjanjian pinjaman standard (yang disediakan oleh bank ini) mengatasi perlindungan di bawah Akta Kontrak dapat dilihat dalam banyak kes, antaranya Bank Bumiputra Malaysia Berhad lwn. Esah bte Abdul Ghani [1986] 1 MLJ 16.
Dalam kes ini Bank Bumiputra telah memberi pinjaman kepada penghutang utama (peminjam). Sebagai sekuriti, bank telah menerima satu gadaian tanah (yang dimiliki oleh tiga orang). Selain itu, bank juga ada menerima gerenti yang ditandatangani oleh Esah. Apabila peminjam kemudian gagal membayar balik pinjamannya itu, bank telah mengambil tindakan untuk mendapatkan perintah jualan tanah yang telah digadaikan kepadanya itu.
Malangnya sebelum bank sempat mendapatkan perintah jualan tanah itu, salah seorang pemilik tanah itu telah meninggal dunia. Ini menyebabkan bank meminda strateginya, lalu mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam dan Esah. Seperti yang sudah dijangka, tidak sukar bagi bank mendapatkan penghakiman. Apabila peminjam terus gagal membayar balik wang pinjaman itu, bank memulakan tindakan kebangkrapan terhadap peminjam dan Esah.
Antara persoalan penting yang perlu diputuskan dalam prosiding kebangkrapan itu ialah apakah bank boleh mengambil tindakan terhadap penggerenti (Esah) tanpa terlebih dahulu bertindak sepenuhnya terhadap peminjam dan melelong tanah yang telah digadai kepadanya? Peguam Esah menghujah bahawa bank tidak sewajarnya mengambil apa-apa tindakan terhadap Esah selagi tindakan terhadap peminjam dan proses jualan tanah (menerusi lelong awam) belum selesai.
Di Mahkamah Tinggi, hujah peguam Esah ini diterima oleh hakim bicara. Malangnya bagi Esah, apabila kes ini kemudian dirayu ke Mahkamah Agong, mahkamah memutuskan bahawa bank ada budi bicara untuk 'menembak siapa dulu' mengikut pilihannya sendiri. Mengikut Hakim Besar Lee Hun Hoe, bank 'ada hak bertindak terhadap penggerenti' tanpa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak lain.
KEDUDUKAN PENGGERENTI YANG LEMAH
Tiga tahun kemudian, dalam kes Re Tosrin bin Jarvanthi [1989] 3 MLJ 428, peguam seorang penggerenti lain cuba sekali lagi mengemukakan hujah yang sama di mahkamah. Dalam kes itu, peguam penggerenti menghujah bahawa anak guamnya tidak menanggung apa-apa liabiliti terhadap syarikat kewangan yang memberi pinjaman selagi syarikat kewangan itu belum mengambil tindakan menjual segala sekuriti yang dicagarkan kepadanya oleh peminjam.
Malang bagi penggerenti, Hakim L C Vohrah memutuskan, dengan merujuk kepada kes Esah, bahawa di bawah syarat-syarat yang terdapat dalam perjanjian gerenti, syarikat kewangan itu ada hak untuk mengambil tindakan terhadap penggerenti tanpa terlebih dahulu mengambil apa-apa tindakan lain.
Hakim Vohrah menegaskan bahawa di bawah syarat-syarat perjanjian gerenti yang ditandatangani, penggerenti tidak ada hak untuk memaksa pihak syarikat kewangan mengambil tindakan terhadap peminjam atau menjual sekuriti sebelum mengambil tindakan terhadap dirinya.
PENGAJARAN
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada kedudukan undang-undang yang tidak menyenangkan ini?
* Pertama, perlindungan yang wujud untuk penggerenti di bawah Akta Kontrak 1950 menjadi sia-sia kerana penggerenti (tanpa menyedari apa yang dilakukan olehnya) telah mengabaikan dan mensia-siakan perlindungannya itu. Ini dilakukan olehnya apabila ia setuju menjadi 'penghutang utama' dalam surat perjanjian gerenti.
* Kedua, kedudukan undang-undang (yang cantik dan baik pada teorinya sahaja ini) berlanjutan kerana mahkamah kita selama ini terus mengiktiraf syarat-syarat standard yang 'berat sebelah' ini.
Apakah tindakan yang sewajarnya kita lakukan? Pada hemat saya, kita boleh lakukan seperti berikut.
* Andainya kita mahu berniaga dengan menubuhkan sebuah syarikat, berniagalah dengan modal sendiri atau modal rakan kongsi. Elaklah berniaga dengan mendapatkan pinjaman dari mana-mana sumber lain. Sebaik sahaja syarikat kita mendapatkan pinjaman itu, kita (selaku pengarah syarikat) sudah pasti terpaksa menyerahkan leher kita. Pinjaman tidak akan diluluskan jika kita enggan menandatangani perjanjian jaminan standard yang disediakan oleh pihak bank.
* Andainya kita didatangi oleh seorang sahabat atau kenalan yang meminta pertolongan kita untuk menjadi penggerenti baginya, adalah lebih selamat bagi kita untuk menyerahkan sahaja (menyedekahkan) sejumlah wang kita yang termampu kepada orang itu daripada kita sanggup menjadi penggerenti baginya. Walaupun duit kita habis pada masa itu, kita masih boleh tidur lena selepas itu.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz41di2tLSf 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Seram kan bila baca artikel kat atas...jadi fikir2 kan lah sebelum ringan tangan nak sign surat untuk jadi penjamin...waima mak ayah sendiri, adik beradik sendiri pun kita kene fikir sedalam dalam dan semasak masak nya...sbb kita xtau ape yg akan berlaku di masa depan..jangan sebab contract penjamin ni kita bergaduh adik beradik atau keluarga.

daa~~

No comments:

Post a Comment