Tanggal 16 Februari, seusai azan maghrib akan selamanya tersemat di hatiku. Inilah harinya ayahanda yang kucintai dipanggil pulang kembali ke negeri abadi setelah 4 tahun terlantar sakit.
Hanya Allah yang tahu betapa sedih dan dukacitanya hati ini. Bagai runtuh berkeping-keping. Walau selama 4 tahun ini aku persiapkan diri untuk menerima kehilangan nya namun apabila tiba harinya ternyata aku tidak sanggup. Puas sudah ku tahan air mata namun tetap ia jatuh berderai bagai tiada hentinya.
Sebenarnya hati ini sudah mula merasa 'sesuatu' sejak aku balik tengok dia 2 minggu sebelum pemergian nya. Hati terasa sayu dan sebak melihat tubuhnya yang semakin uzur dan tidak berdaya. Abah langsung tak mahu makan. Bukan dia tak mahu, tapi seakan badannya tidak mahu menerima lagi. Mungkin juga tanda kasih sayang Allah yang mahu memudahkan urusan nya nanti. Hanya saja kami yang tidak tahu.
Ku usap dahinya. Ku elus lembut batang tubuhnya. Ayahku yang suatu ketika dulu begitu kuat dan gagah kini hanya terlantar tidak berdaya. Hati siapa yang mampu menahan nya. Ku angkat tangan lalu ku berdoa sepenuh hati "Ya Allah ampuni ayahku, kasihani dia, permudahkan urusan nya untuk kembali ke negeri abadi"
Itulah doaku. Aku tidak tahu sama ada aku rela atau tidak namun saat itu aku ingin benar lihat dia tidak menanggung siksa sakitnya lagi.
Berdosa kah aku?
Lalu hari-hari yang berlalu selepas itu ku tunggu dengan seribu satu rasa. Adakala aku merasa takut. Bagaimana jika firasatku benar? adakala pula aku hanya merasa seperti biasa, menidak kan segala yang buruk-buruk dan mengharap datangnya kebaikan
Petang jumaat ketika kakak sulungku memberi khabar bahawa kesihatan ayahku semakin memburuk..ku putuskan untuk segera pulang. Namun suami ku menahan. Katanya kita tengok dulu esok macam mana. Malam itu ku putar lagu-lagu yang pernah disukai ayahku suatu ketika dulu bersama deraian air mata. Begitu hiba dan sebak sekali. Namun aku tidak tahu mengapa....
Esoknya, ku kemas bajuku dan anak-anak. Ku persiapkan segala. Rancanganku, kami akan segera pulang selepas selesai urusan pembelian kelengkapan sekolah anak-anak.
Namun entah kenapa sebahagian hatiku seakan menghalang untuk pulang. Ku hubungi kakak sulungku bertanya sekali lagi keadaan ayahku. Kali ini kakak ku memberi khabar gembira. Abah dah sihat katanya. Aku hela nafas kelegaan. Tidak perlulah aku terburu-buru pulang sementelah anak-anak akan mula bersekolah isnin nanti. Biarlah lepaskan mereka sekolah dulu, fikirku.
Ternyata, takdir Allah s.w.t bukan mengikut kehendakku.
Malam ahad itu, tatkala aku baru saja duduk untuk meneguk segelas air selepas penat seharian menguruskan buku-buku anak yang bakal bersekolah esok, telefon ku berbunyi.
Segera aku mencapai.
Tanpa salam adik ku bersuara "abah dah takde"
Bagai dentuman guruh di telingaku saat dia melafazkan kata-kata itu. Aku terdiam dan terkaku. Suaraku yang pada awalnya ceria terus bertukar bisu
"Abah.........."
Hanya itu yang keluar dari bibirku....
Hanya selepas seketika baru tangisku pecah. Longlainya tubuhku hingga terpaksa dipapah suami. Sepanjang jalan ku menghamburkan air mata.
"Sampai hati abah pergi tak tunggu kaklang" Suara hatiku seakan berperang dengan akal warasku. Terasa ingin marah tapi tak tahu pada siapa
Kesalnya hati kerana bertangguh untuk pulang
Aku ingin segera sampai tapi perjalanan terasa seakan begitu jauh sekali. Yang ada di fikiran ku waktu itu, abah tetap ada menungguku di biliknya. Sama seperti hari-hari sebelumnya, hanya saja dia sudah tidak boleh membalas salam dan huluran tangan ku lagi.
Sampai saja, aku berlari turun dari kereta. Ibuku menyambut. Dipeluknya aku sekuat hatinya. Seingat aku itulah kali pertama aku dan mak benar-benar berpelukan. Namun hatiku sudah tidak sabar lagi. Pelukan mak ku leraikan. Aku hanya ingin cepat-cepat menatap wajah ayahku. "benarkah abah dah takde.." itulah soal hatiku
Sebaik kaki ku melangkah masuk ke dalam bilik, ku lihat sekujur tubuh terbaring dengan kain menutupi dari kaki hingga ke kepala. Aku hampir rebah. Kakak ku menghampiri dan berbisik padaku "macam dia tidur selalu je.." dengan deraian air mata
Betulkah? lalu ku buka kain yang menutup wajah ayahku. Aku tersentak.
"ini bukan abahku yang sedang tidur..."
Tanganku terus menggigil dan kaki ku terasa lemah. Aku jatuh terjelepuk. "kenapa abahku tidak seperti selalu?"
Hakikat menerima kematian begitu berat untuk ku terima. Aku membayangkan wajahnya seperti selalu sedangkan bukan begitu hakikatnya. Di saat jantung berhenti mengepam darah, di saat beratnya sakaratul maut sudah pasti wajah kita berubah.
Itulah yang susah untuk ku terima.....
Naifnya aku.
Adik perempuan ku sampai sesudah 1 jam kedatanganku. Dan kakak kedua ku hanya sampai tepat tengah malam itu. Aku dan adik perempuan ku menangis berpelukan sedang kakak ku terlihat agak tabah dan reda.
Sepanjang malam itu, aku setia menanti di sisi jenazah ayahku. Tidak putus-putus ku berdoa agar Allah s.w.t mengampunkan segala dosa-dosa ayahku dan menerima kepulangan nya dengan keampunan dan keredaan.
Adik beradik ku juga turut datang menemani. Aku yakin setiap kami mendoakan abah bersama kenangan yang bersilih ganti menerpa. Segalanya begitu jelas malam itu seakan baru saja berlaku.
Sesekali ku buka kain yang menutup wajah ayahku dan ku kucup pipinya. "Maafkan kaklang abah. Terima kasih jadi abah yang baik buat kami. Terima kasih atas segala yang abah berikan" ku bisik perlahan kata-kata ini bersama renungan penuh kasih buat ayahku yang tercinta. Selepas ini, tak kan mungkin dapat ku menatap wajahnya lagi.
Hidungku menangkap bau wangi setiap kali kucium wajahnya. Susah untuk aku gambarkan. Namun hatiku yakin Abah pergi dalam reda Allah. Wajah abah juga kulihat seakan berubah menjadi semakin tenang. Dan sesudah subuh, aku dan emak memegang lembut bahu dan tangan ayahku. Begitu lembut dan mudah diuruskan. Aku menangis lagi.
"Rezeki abah..." kataku
"Allah itu maha penyayang" kata mak pula
Allah s.w.t tahu kerisauan kami kerana urusan mandi dan pengebumiaan yang tertangguh sepanjang malam memungkinkan segala kemungkinan.
Kami adik beradik sekali lagi berkumpul sesudah subuh itu untuk bersama-sama membacakan talkin buat abah sebelum jenazah diangkat ke masjid. Aku sedar masa ku untuk bersama-sama abah buat kali terakhir semakin suntuk.
Namun sedaya upaya ku ikhlaskan hati...
Paling tidak dapat ku lupakan, sebaik selesai abah dimandi dan dikafankan kami melihat sekujur tubuh yang begitu indah sekali. Begitu segak dan tampan. Aku dan kakak sulungku saling memuji sambil menitis air mata.
Urusan abah mudah. Adik lelaki bongsuku menjadi imam untuk solat jenazah ayahku. Dan sewaktu di kubur, adik lelaki kedua ku serta menantu yang paling abah sayang setia menanti untuk menyambut dan menyelesaikan bakti terakhir buat abah.
Talkin sekali lagi dibacakan diketuai oleh adik iparku
Wajah kami suram, hati kami pilu...begitu berat rupanya perpisahan ini. Tidak lagi dapat berjumpa melainkan menanti pada pertemuan semula di akhirat kelak.
Namun ku kira, abah beruntung. Segalanya yang abah punya di dunia ini cukup. Abah tidak kaya dan mewah. Abah punya ramai anak perempuan dan cuma 2 anak lelaki. Namun dari anak-anak perempuan abah dikurniakan menantu yang baik-baik dan serba tahu. Semuanya berganding bahu untuk menghantar kepulangan abah ke permulaan alam baqa' dengan cara yang paling baik.
Kini, hanya doa mampu dikirim. Mengharap rahmat dan kasih sayang Allah untuk menyatukan kembali kami di syurga nan abadi satu hari kelak.
Rindu pada yang telah pergi amat perit....
Dulu aku tidak faham, hanya selepas kehilangan baru ku mengerti
Selamat tinggal ayahku, damailah engkau di sana...Satu hari kelak kita akan bertemu kembali
.
.