Assalammualaikum w.b.t
Selamat Hari Raya Aidilfitri Dhuri ucapkan kepada semua. Tahun ini buat pertama kalinya, sambutan raya terasa begitu berbeza. Selama puluhan tahun raya Dhuri pasti bersalaman dan mencium kedua belah tangan ayah bonda, namun tahun ini hanya tinggal mak. Rasa lain, rasa tak biasa. Tapi itulah takdirnya...siapa kita untuk mengubahnya. Sebak di dada hanya Allah s.w.t yang tahu.
Sehari sebelum aidilfitri, Dhuri dan angah (kakak kedua) menziarahi kubur abah sesudah subuh. Kami sampaikan salam rindu, bacaan yassin dan doa buat abah. Kami sirami dengan air dan taburan bunga. Semoga abah tenang dan bahagia di sana. Kami tahu abah tak hilang, masih ada...cuma kita sudah berbeza alam.
Selamat hari raya aidilfitri abah....
Balik dari kubur, kami singgah beli groceries raya. Tahun ni adik bongsu hulur kad suruh kami shopping. Alhamdulillah adik bongsu dah dewasa. Kalau dulu kakak-kakak paling risaukan dia, sekarang dah boleh perlahan-lahan menarik nafas lega.
Sampai di rumah, sinsing lengan dan terus lah memasak. Menu raya kami, nasi impit dan kuah lodeh, rendang daging, sambal sotong, ayam masak merah, ketupat palas, kuah kacang serta lemang. Kebanyakan menu angah yang masak. Dhuri cuma masak sambal sotong je itupun half way sebab lepas tu angah kena alter sambal sotong ku.. hehe. Lemang pulak adik beli. Dulu masa abah masih ada dan sihat setiap tahun lemang kami buat sendiri. Abah akan cari buluh dan jaga api. Tak pernah lemang keras, mentah atau tak sedap. Tahun ni dah 2 kali beli lemang tapi tak dapat rasa lagi lemang sesedap air tangan mak + abah.
Pagi raya kami solat aidilfitri di masjid Senawang. Tahun ni Dhuri sambut raya dengan keluarga kat Senawang. Manakala husband dan anak-anak sambut raya di Senggarang. Terima kasih suamiku kerana sangat memahami jiwa ini yang masih belum pulih. Mood raya Dhuri sesungguhnya memang takde tahun ni. Bersalaman pagi raya dengan mak pun, sangat sayu dan hiba. Berat sungguh untuk kami menghadapi pemergian abah.
Tapi mujur juga sebelum balik kampung haritu, dah ambil gambar raya bersama-sama. Adalah juga kenangan dengan anak-anak untuk diabadikan.
Ini pula waktu bergambar dengan adik beradik. Cuma adik perempuan, Amy saja yang tak ada.
Sama-sama lah kita kuat mak...
Raya kedua pula, kami balik kampung untuk kemas rumah mak kat kampung. Sempat ziarah kubur abah dulu sebelum bertolak.
Terlalu banyak kenangan di rumah ni. Bila Dhuri terjumpa meja belajar yang abah buat untuk Dhuri mengalir lagi air mata. Itulah cara kasih sayang abah tunjuk kan buat anak-anak nya. Terima kasih abah.
Dulu sewaktu mak dengan abah duduk kat rumah ni, rumah ni sangat kemas dan terjaga. Mak dengan abah 2-2 pembersih. Sepanjang ingatan Dhuri mak akan selalu kemaskan dalam rumah sementara abah akan kemas bahagian luar rumah. Balik saja dari kebun atau sawah, memang abah akan capai pencakar dulu untuk sapu daun-daun kering. Mungkin asbab tu juga kubur abah sangat bersih dan terjaga.
Kami juga terima kunjungan adik beradik mak sewaktu sedang sibuk bersihkan rumah tu. Memang rutin kat sana pada hari raya kedua adalah zirah kubur. Dhuri pun sebenarnya dah lama sangat tak ziarah kubur arwah wan dan atuk. Insya Allah balik kampung next time Dhuri akan cuba juga ziarah.
Dulu Dhuri ingat ziarah kubur ni tak perlu. Cukup hanya dengan doa saja. Kalau ziarah setahun sekali time raya saja pun macam nak menunjuk saja lebih. (ini pandangan Dhuri satu ketika dulu). Sehinggalah bila abah meninggal, Dhuri banyak dengar ceramah dari ustaz-ustaz. Rupanya ziarah kubur ni, selain ketaatan berterusan dari seorang anak kepada ibu ayah nya yang telah pergi, mereka yang di alam sana itu sebenarnya nampak kita (dengan izin Allah). Jadi bila kita datang tu mereka rasa terhibur la. Dapat tengok kita. Kalau kita tak datang mereka tak dapat tengok. Jadi untuk anda yang dah kematian ibu ayah, rajin-rajin lah ziarah mereka di kuburan. Amalan Dhuri, dalam perjalanan sebelum sampai tu, Dhuri memang minta dengan Allah sangat-sangat supaya DIA izinkan untuk abah nampak Dhuri. Sebab segala nya pun hanya terjadi dengan izin Allah.
Malam raya kedua tu husband dan anak-anak sampai dari Johor. paling tak sangka bila mak mertua pun ikut sekali. Menantu dia tak dapat balik beraya, mak yang datang ke sini. Alhamdulillah. Terima kasih mak. Dan di raya ketiga bilamana semua adik beradik dah berkumpul, kami adakan sedikit bacaan tahlil dan doa buat abah. Semoga abah gembira di sana mengetahui kami anak-anak tidak pernah sekali pun melupakan abah. Akan selamanya terpahat dalam ingatan dan doa selagi hayat di kandung badan.
Jadi itulah saja catatan raya Dhuri untuk tahun ini..Semoga Allah s.wt. kurniakan lebih banyak lagi kesempatan masa untuk bersama-sama dengan ahli keluarga tersayang. Bila dah kehilangan abah ni, memang dah rasa agak trauma untuk hilang lagi ahli keluarga. Huhu
PS: Kenangan last raya bersama abah di Kampung Simpang Durian
Till then bye ~~~
Atau nak lebih pantas??
No comments:
Post a Comment